Latest Post

300 juta kanak-kanak hiruf udara sangat bertoksik: UNICEF

Posted By Dennelton Mandiau on Wednesday, November 9, 2016 | 22:41

Kira-kira 300 juta kanak-kanak hidup dengan udara luar sangat tercemar yang akan menyebabkan
kerosakan serius terhadap kesihatan fizikal, termasuk membantut tumbesaran otak mereka, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kajian dikeluarkan pada Oktober 2016.

Hampir seorang dalam tujuh kanak-kanak di seluruh dunia menghirup udara luar yang sekurang-kurangnya enam kali lebih kotor daripada garis panduan antarabangsa, menurut kajian oleh Tabung Kanak-Kanak PBB, yang mengatakan pencemaran udara faktor utama kematian kanak-kanak.

UNICEF mengeluarkan kajian itu seminggu sebelum perbincangan tahunan perubahan iklim PBB, dengan pusingan seterusnya dianjurkan oleh Maghribi pada 7 hingga 18 November pada tahun yang sama.

Agensi tersebut, yang menyokong hak dan kesejahteraan kanak-kanak, menggesa pemimpin-pemimpin dunia supaya mengambil tindakan segera untuk mengurangkan pencemaran udara di negara mereka.

“Pencemaran udara adalah faktor penyumbang utama dalam kematian kira-kira 600,000 kanak-kanak di bawah lima setiap tahun, dan ia mengancam nyawa dan masa depan berjuta-juta orang lagi setiap hari,” kata Anthony Lake, pengarah eksekutif UNICEF.

“Pencemaran bukan sahaja membahayakan tumbesaran paru-paru kanak-kanak. Ia sebenarnya boleh melintasi halangan darah otak dan merosakkan secara kekal tumbesaran otak dan masa depan mereka. Tiada masyarakat boleh mengendahkan pecemaran udara,” kata Lake.

UNICEF menunjukkan imej satelit yang dikatakan mengesahkan bahawa kira-kira dua bilion kanak-kanak hidup dalam kawasan di mana pencemaran udara luar melebihi panduan kualiti udara minimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Udara tercemar akibat asap kenderaan, bahan api fosil, habuk, sisa pembakaran dan bahan cemar bawaan udara lain, katanya.

Asia Selatan mempunyai jumlah terbesar kanak-kanak hidup di kawasan seperti itu kira-kira 620 juta, diikuti oleh Afrika dengan 520 juta dan wilayah Asia Timur dan Pasifik dengan 450 juta orang.

Kajian itu juga menganalisis pencemaran udara dalaman, biasanya disebabkan pembakaran arang batu dan kayu untuk memasak dan pemanasan.

UNICEF menggesa langkah-langkah yang lebih kukuh bagi mengurangkan pencemaran, meningkatkan penjagaan kesihatan, memantau dan mengelak kanak-kanak terdedah udara tercemar.

Sumber AFP

Lelaki Argentina jumpa adiknya yang diculik tentera rejim sejak 1976

Posted By Dennelton Mandiau on Tuesday, October 25, 2016 | 08:58

Anak kepada dua aktivis berhaluan kiri yang “dihilangkan” oleh tentera rejim Argentina pada
1976-1983 bertemu semula dengan adiknya yang telah lama hilang, diculik ketika lahir dan dikenal pasti melalui ujian DNA.

“Kami ada 40 tahun cinta untuk diberikan kepadamu,” kata Ramiro Menna, seorang guru berumur 42 tahun, beritahu adiknya yang dia tidak pernah bertemu.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar di Grandmothers of the Plaza de Mayo, sebuah organisasi yang bekerja untuk mencari kira-kira 500 bayi dicuri dan diterima secara haram semasa pemerintahan diktator sayap kanan Argentina.

Menna berumur dua tahun apabila ejen rejim menyerbu rumah keluarganya pada bulan Julai 1976 dan menahan ibu bapanya, Ana Maria Lanzilotto dan Domingo Menna.

Mereka adalah aktivis dalam Parti Pekerja Revolusi, yang melancarkan pemberontakan bersenjata menentang rejim.

Menna, yang dibesarkan oleh bapa saudaranya sejak kecil, kemudian mengetahui ibunya mengandung lapan bulan pada masa itu.

Khabar mengenai ibu bapanya tidak pernah lagi didengar sejak itu - dua daripada kira-kira 30,000 orang dibunuh atau “hilang” semasa pemerintahan diktator.

Tetapi dia tidak pernah berputus asa untuk mencari adiknya, yang nampaknya diberikan kepada sebuah keluarga dekat dengan rejim untuk dibesarkan.

Empat puluh tahun kemudian, akhirnya dia berjaya bertemu dengan adiknya.

Minggu ini, adik Menna yang hilang menjadi bayi ke-121 dicuri yang dikenal pasti oleh Grandmothers of the Plaza de Mayo.

“Kami mahu memelukmu. Kami sedang menunggumu,” Menna beritahunya di ibu pejabat kumpulan hak asasi manusia di Buenos Aires.

Menna dan neneknya aktif dalam organisasi tersebut, yang ditubuhkan pada tahun 1977 untuk menuntut jawapan ke atas nasib bayi dilahirkan dalam tahanan diberikan kepada ahlinya yang kehilangan anak lelaki dan perempuan.

Sumber AFP

Lebih 90 peratus orang di seluruh dunia hirup udara tercemar: WHO

Posted By Dennelton Mandiau on Sunday, October 9, 2016 | 18:59

Sembilan daripada 10 orang di seluruh dunia sedang menghirup udara tidak segar atau tidak berkualiti, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Data baharu dalam satu laporan daripada badan kesihatan global PBB setakat bulan September 2016 cukup untuk membuat kita semua bimbang, kata Maria Neira, ketua jabatan kesihatan awam dan alam sekitar WHO.

Kebanyakannya paling teruk di kawasan bandar, tetapi udara di kawasan luar bandar juga lebih buruk daripada apa yang difikirkan, kata pakar WHO.

Negara miskin atau tidak membangun mempunyai udara lebih kotor daripada negara-negara maju, menurut laporan tersebut, tetapi pencemaran “memberi kesan kepada hampir semua negara-negara di dunia dan semua lapisan masyarakat”, kata Neira dalam satu kenyataan.

“Ia adalah kecemasan kesihatan awam,” katanya.

“Tindakan pantas untuk membendung pencemaran udara tidak dapat dilakukan dengan segera,” tambah beliau, menggesa kerajaan untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan mendorong penggunaan bahan api memasak yang bersih.

Laporan itu adalah berdasarkan data yang dikumpul daripada lebih 3,000 tapak di seluruh dunia.

Ia mendapati bahawa “92 peratus daripada penduduk dunia tinggal di tempat-tempat di mana tahap kualiti udara melebihi had WHO”.

Data itu memberi tumpuan pada perkara zarah berbahaya dengan diameter kurang daripada 2.5 mikrometer, atau PM 2.5.

PM2.5 termasuk toksik seperti sulfat dan karbon hitam, yang boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru atau sistem kardiovaskular.

Udara dengan lebih daripada 10 mikrogram per meter padu PM 2.5 pada asas purata tahunan dianggap tidak berkualiti.

WHO menganggarkan lebih daripada enam juta kematian setiap tahun dikaitkan dengan pendedahan pencemaran udara luaran dan dalaman.

Data itu lebih kukuh bagi pencemaran luaran, yang mengakibatkan lebih daripada tiga juta kematian setiap tahun.

Tetapi pencemaran dalaman juga dikatakan berbahaya, terutamanya di negara tidak membangun kerana pembakaran arang sering dilakukan untuk memasak.

Sumber AFP

Lelaki India dakwa ‘semangat dalaman’ dorong telan 40 pisau

Posted By Dennelton Mandiau on Thursday, September 15, 2016 | 22:41

Seorang polis India mengaku pada 23 Ogos 2016 menelan 40 bilah pisau dalam tempoh dua bulan mendakwa ‘semangat dalaman’ telah mendorongnya melakukan perbuatan memakan bilah logam yang berjaya dibedah keluar.

Lelaki yang juga ayah kepada dua anak itu berjaya melalui pembedahan lima jam mengeluarkan pisau dari perutnya di bandar Amritsar selepas mengadu sakit perut kepada doktor.

“Saya tidak tahu kenapa saya lakukannya tetapi ada kuasa batin di sebaliknya,” kata lelaki berusia 42 tahun itu semasa ditemui di Amritsar di negeri Punjab, enggan namanya disiarkan.

“Ia bermula pada Jun apabila saya mula-mula menelan pisau dan rasa sukakannya. Tidak lama kemudian ia jadi tabiat,” katanya.

Menurut doktor, pada mulanya dia disangka mengalami ketumbuhan selepas imbasan badannya menunjukkan satu jisim besar.

Bagaimanapun siasatan lanjut dibuat, pasukan perubatan mendapati puluhan bilah pisau logam yang termasuk dengan pemegang kayu dan berukuran sehingga 18 sentimeter dikeluarkan.

“Kami segera bersiap membedah dan membuang pisau ini. Ada pendarahan ketika sebahagian pisau dikeluarkan,” kata Rajinder Rajan, salah seorang anggota pasukan bedah di Corporate Hospital.

Rajan juga mengesyaki pesakit terbabit mengalami tekanan melampau.

Meskipun sedang dalam pemulihan dalam pembedahan dibuat pada Jumaat, dia akan melalui penilaian psikologi sebelum dibenarkan keluar dari hospital, kata Rajan.

Bagaimanapun polis terbabit menyatakan tidak lagi akan berbuat demikian.

“Saya telan sebilah pisau sehari dalam masa dua bulan. Saya sebelumnya tak rasa ia apa-apakan saya tetapi apabila terasa sakit, saya ke hospital.

“Saya tak akan ulangi perbuatan itu. Saya gembira mereka (pasukan bedah) selamatkan nyawa saya dan kini mahu kembali ke pangkuan keluarga saya."

Sumber AFP

Melestari budaya dan sastera kadazandusun

Posted By Dennelton Mandiau on Tuesday, August 23, 2016 | 18:35

Di Tugu Warisan Nunuk Ragang.
KECINTAAN yang mendalam dan semangat yang tidak pernah padam menjadi pendorong kepada sesiapa sahaja tidak kira individu atau kumpulan untuk terus giat menyemarakkan budaya dan sastera warisan masyarakat yang diwarisi daripada leluhurnya.

Sebagai seorang pendidik, pengkaji dan penggiat serta pencinta seni budaya warisan suku kaum Dusun Ranau, Puan Linah Bagu iaitu seorang Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent giat mengetengahkan salah satu warisan budaya dan sastera Dusun di khalayak ramai supaya dikenali dan difahami mesej dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat dahulu dan kini.

Puisi lisan tradisi yang lebih dikenali sebagai ‘lihis’ atau ‘hiis’ amat popular digunakan dalam kalangan masyarakat Dusun pada zaman tradisional sebagai salah satu cara menyampaikan mesej secara tersirat atau tidak langsung dengan tujuan supaya tidak menyakitkan hati tetapi jelas difahami oleh individu atau kumpulan tertentu yang dimaksudkan atau memahami mesej yang disampaikan.

‘Lihis’ atau ‘hiis’ pada masa kini diperolehi daripada golongan tua yang juga mewarisi ‘hiis’ tersebut daripada nenek moyang mereka. Di antara ‘hiis’ yang sangat popular dan diajar kepada murid-murid di sekolah rendah dan menengah ialah ‘Sundait’, ‘Taala-ala’, ‘Sudail/Sudawil’ dan ‘Tudodoi’.

Kajian Linah sepanjang tempoh mengendalikan pengajaran dan pembelajaran Kebudayaan dan Kesusasteraan Kadazandusun di IPG Kampus Kent Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun selama lima tahun, mendapati terdapat banyak lagi jenis ‘hiis warisan’ iaitu di antaranya adalah ‘Andayayong’, ‘Tuntura’, ‘Tinggono’,‘Tandi-adi’, ‘Kiaton’,‘Taboi-aboi’ dan banyak lagi.

Pengkajian terhadap warisan yang hampir dilupakan ini perlu dilakukan dengan lebih mendalam dan menyeluruh di setiap pelusuk negeri Sabah yang didiami oleh suku kaum rumpun Dusun.

Baru-baru ini (dari tarikh rencana ini dikeluarkan), Linah dan seramai 15 orang pelajar PISMP Bahasa kadazandusun telah turut serta memeriahkan Pesta Moginakan Nunuk Ragang di Tugu Warisan Nunuk Ragang pada 13 Ogos 2016 dengan persembahan Hiis Tinungkusan yang terdiri daripada ‘Tudodoi’, ‘Taala-ala’, ‘Sudawil’ dan ‘Andayayong’ berserta tarian Sumirid iaitu tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau.

Menurut Linah, pemilihan ‘hiis’ ‘Tudodoi’, ‘Taala-ala’, ‘Sudail/Sdawil’ dan ‘Andayayong sebagai persembahan amat sesuai dengan tujuan Moginakan Nunuk Ragang iaitu selain daripada memperingati ‘sunduan’ mengembalikan ikatan persaudaraan dan penyatuan kaum Dusun sebagai satu entiti dalam masyarakat global, ianya juga diharapkan dapat mengetengahkan salahsatu warisan nenek moyang kaum Dusun yang sangat terkenal pada zaman tradisional iaitu kehidupan masyarakat Dusun pada ketika itu yang sangat tenang , aman dan harmoni.

Selain daripada menyampaikan mesej secara santun, ‘hiis’ ini juga digunakan untuk menghiburkan hati ketika penat mengerjakan sawah padi, mananam padi dan mengetam padi. Karamayan seperti Kaamatan dan Moginakan merupakan masa yang sangat sesuai digunakan oleh golongan muda masyarakat tradisi mempelajari pelbagai ‘hiis’ daripada golongan tua yang kebanyakannya juga terdiri daripada ‘Bobolian’.

Moginakan yang berlangsung selama 7 hari memberi peluang yang sngat bermakna kepada golongan muda atau golongan tua yang berniat untuk mempelajari dan menguasai pelbagai jenis ‘hiis’ yang diminati.
Tarian Sumirid pula merupakan tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau.

Pada asalnya tarian ini merupakan pergerakan satu perlakuan meleraikan padi daripada tangkainya dengan memijak-mijak tangkai padi. Apabila pada satu ketika, daerah tersebut tidak aman kerana gangguan musuh, penduduk kampung menghantar pahlawan lelaki mereka pergi berjuang.

Apabila pahlawan mereka kembali membawa kemenangan, mereka disambut dengan tarian Sumirid sebagai lambang kegembiraan dan kebanggaan menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan mereka.

Puan Linah menjelaskan bahawa persembahan tersebut merupakan satu cara yang kreatif untuk memperlihatkan realiti kehidupan masyarakat Dusun pada zaman tradisional yang penuh dengan keharmonian, kesantunan dan pemikiran aras tinggi.

Diharapkan persembahan ini dapat membuka minda semua pihak agar terus memelihara dan melestarikan budaya, bahasa dan sastera warisan nenek moyang yang hampir dilupakan. Persembahan tersebut juga telah dipersembahkan di Dewan Terbuka IPG kampus Kent sempena Lawatan Kerja Datuk Seri Musa Haji Aman ke institut itu pada 16 Ogos 2016.


Oleh Aduka Jasnin Suman & Puan Linah Bagu
Recent Comments
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2016. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger