Home » , , » Melestari budaya dan sastera kadazandusun

Melestari budaya dan sastera kadazandusun

Posted By Dennelton Mandiau on Tuesday, August 23, 2016 | 18:35

Di Tugu Warisan Nunuk Ragang.
KECINTAAN yang mendalam dan semangat yang tidak pernah padam menjadi pendorong kepada sesiapa sahaja tidak kira individu atau kumpulan untuk terus giat menyemarakkan budaya dan sastera warisan masyarakat yang diwarisi daripada leluhurnya.

Sebagai seorang pendidik, pengkaji dan penggiat serta pencinta seni budaya warisan suku kaum Dusun Ranau, Puan Linah Bagu iaitu seorang Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent giat mengetengahkan salah satu warisan budaya dan sastera Dusun di khalayak ramai supaya dikenali dan difahami mesej dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat dahulu dan kini.

Puisi lisan tradisi yang lebih dikenali sebagai ‘lihis’ atau ‘hiis’ amat popular digunakan dalam kalangan masyarakat Dusun pada zaman tradisional sebagai salah satu cara menyampaikan mesej secara tersirat atau tidak langsung dengan tujuan supaya tidak menyakitkan hati tetapi jelas difahami oleh individu atau kumpulan tertentu yang dimaksudkan atau memahami mesej yang disampaikan.

‘Lihis’ atau ‘hiis’ pada masa kini diperolehi daripada golongan tua yang juga mewarisi ‘hiis’ tersebut daripada nenek moyang mereka. Di antara ‘hiis’ yang sangat popular dan diajar kepada murid-murid di sekolah rendah dan menengah ialah ‘Sundait’, ‘Taala-ala’, ‘Sudail/Sudawil’ dan ‘Tudodoi’.

Kajian Linah sepanjang tempoh mengendalikan pengajaran dan pembelajaran Kebudayaan dan Kesusasteraan Kadazandusun di IPG Kampus Kent Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun selama lima tahun, mendapati terdapat banyak lagi jenis ‘hiis warisan’ iaitu di antaranya adalah ‘Andayayong’, ‘Tuntura’, ‘Tinggono’,‘Tandi-adi’, ‘Kiaton’,‘Taboi-aboi’ dan banyak lagi.

Pengkajian terhadap warisan yang hampir dilupakan ini perlu dilakukan dengan lebih mendalam dan menyeluruh di setiap pelusuk negeri Sabah yang didiami oleh suku kaum rumpun Dusun.

Baru-baru ini (dari tarikh rencana ini dikeluarkan), Linah dan seramai 15 orang pelajar PISMP Bahasa kadazandusun telah turut serta memeriahkan Pesta Moginakan Nunuk Ragang di Tugu Warisan Nunuk Ragang pada 13 Ogos 2016 dengan persembahan Hiis Tinungkusan yang terdiri daripada ‘Tudodoi’, ‘Taala-ala’, ‘Sudawil’ dan ‘Andayayong’ berserta tarian Sumirid iaitu tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau.

Menurut Linah, pemilihan ‘hiis’ ‘Tudodoi’, ‘Taala-ala’, ‘Sudail/Sdawil’ dan ‘Andayayong sebagai persembahan amat sesuai dengan tujuan Moginakan Nunuk Ragang iaitu selain daripada memperingati ‘sunduan’ mengembalikan ikatan persaudaraan dan penyatuan kaum Dusun sebagai satu entiti dalam masyarakat global, ianya juga diharapkan dapat mengetengahkan salahsatu warisan nenek moyang kaum Dusun yang sangat terkenal pada zaman tradisional iaitu kehidupan masyarakat Dusun pada ketika itu yang sangat tenang , aman dan harmoni.

Selain daripada menyampaikan mesej secara santun, ‘hiis’ ini juga digunakan untuk menghiburkan hati ketika penat mengerjakan sawah padi, mananam padi dan mengetam padi. Karamayan seperti Kaamatan dan Moginakan merupakan masa yang sangat sesuai digunakan oleh golongan muda masyarakat tradisi mempelajari pelbagai ‘hiis’ daripada golongan tua yang kebanyakannya juga terdiri daripada ‘Bobolian’.

Moginakan yang berlangsung selama 7 hari memberi peluang yang sngat bermakna kepada golongan muda atau golongan tua yang berniat untuk mempelajari dan menguasai pelbagai jenis ‘hiis’ yang diminati.
Tarian Sumirid pula merupakan tarian tradisi kaum Dusun dari daerah Ranau.

Pada asalnya tarian ini merupakan pergerakan satu perlakuan meleraikan padi daripada tangkainya dengan memijak-mijak tangkai padi. Apabila pada satu ketika, daerah tersebut tidak aman kerana gangguan musuh, penduduk kampung menghantar pahlawan lelaki mereka pergi berjuang.

Apabila pahlawan mereka kembali membawa kemenangan, mereka disambut dengan tarian Sumirid sebagai lambang kegembiraan dan kebanggaan menyambut kepulangan pahlawan-pahlawan mereka.

Puan Linah menjelaskan bahawa persembahan tersebut merupakan satu cara yang kreatif untuk memperlihatkan realiti kehidupan masyarakat Dusun pada zaman tradisional yang penuh dengan keharmonian, kesantunan dan pemikiran aras tinggi.

Diharapkan persembahan ini dapat membuka minda semua pihak agar terus memelihara dan melestarikan budaya, bahasa dan sastera warisan nenek moyang yang hampir dilupakan. Persembahan tersebut juga telah dipersembahkan di Dewan Terbuka IPG kampus Kent sempena Lawatan Kerja Datuk Seri Musa Haji Aman ke institut itu pada 16 Ogos 2016.


Oleh Aduka Jasnin Suman & Puan Linah Bagu
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I was a blogger since 2008, I have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2017. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger