Home » , » Telefon pintar: Komunikasi insan beralih arah

Telefon pintar: Komunikasi insan beralih arah

Posted By Dennelton Mandiau on Friday, October 16, 2015 | 18:55

Evolusi telefon pintar yang bermula dari telefon mudah alih ke telefon bimbit dan seterusnya telefon pintar.
Lihatlah disekeliling kita. Kebanyakan insan tanpa mengira perbezaan usia, jantina mahupun latar belakang kehidupan begitu sibuk melayani suatu alat komunikasi yang dianggap penting pada hari ini. Alat komunikasi yang dimaksudkan tadi adalah telefon pintar. Saya pasti ramai di antara kita yang mengetahui mengenai maksud dan penggunaan telefon pintar ini. Ia merupakan satu produk keperluan yang wajib berada di dalam genggaman kita. Malah, mereka yang tinggal dikawasan desa, terutamanya golongan remaja dan belia turut tidak ketinggalan merasai nikmat ledakan teknologi baharu ini. Dalam erti kata lain, masyarakat pada hari ini mampu memiliki telefon pintar yang dianggap sebagai salah satu keperluan utama di dalam kehidupan seharian dan bukannya lagi merujuk kepada barang mewah.

Ucapan penghargaan seharusnya diberikan kepada usaha pihak pemasar serta firma pengeluar jenama telefon pintar tersebut yang berjaya mempromosikan produk jenama mereka dengan efektif dan efisyen sehingga mampu menambat hati pengguna di negara kita dan juga diperingkat global. Kehidupan kita pada hari ini banyak dipengaruhi oleh aktiviti media sosial yang sentiasa berkembang mengikut arus peredaran masa. Pengaruh media sosial ini telah menjadi suatu platform yang khusus di dalam pembangunan produk serta penciptaan telefon pintar yang mengikut kesesuaian aplikasi dan jenis laman media sosial tersebut. Secara amnya, telefon telah mengalami proses evolusi yang begitu rancak sejak penciptaan sulung oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1876. Telefon dicipta bertujuan untuk menghantar maklumat komunikasi serta menghubungkan individu yang berada jauh di antara satu sama yang lain. Pada ketika dahulu, kita hanya boleh mendengar suara pemanggil namun kini semuanya telah berubah.

Kesan penciptaan telefon bimbit sebenarnya membawa kepada evolusi telefon pintar yang kini lahir daripada pelbagai jenama. Kelahiran telefon pintar adalah selari dengan perkembangan Internet terhadap media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp. Ini turut disokong dengan kemajuan penciptaan komputer seperti komputer riba. Telefon pintar pada masa kini banyak dipengaruhi oleh sistem komputer yang sedia ada serta penggunaan teknologi jalur lebar. Teknologi ini banyak membantu kita di dalam menguruskan kehidupan seharian khususnya yang berkaitan dengan sistem maklumat dan komunikasi. Telefon pintar ini hampir menyamai aplikasi sistem komputer. Kita boleh melayari Internet melalui telefon pintar, menghantar e-mail dan sebagainya. Media sosial sendiri mendapat tempat di dalam telefon pintar. Kita boleh memuat turun pelbagai jenis aplikasi yang berkaitan dengannya mengikut keperluan dan minat kita. Dunia kini berada dihujung jari kita. Segala maklumat dan kecanggihan komunikasi dapat diperolehi dengan hanya menyentuh skrin telefon pintar dalam masa yang singkat.

Namun begitu, kecanggihan telefon pintar ini juga telah merubah komunikasi kita dari pelbagai aspek
Telefon pintar tidak pernah lekang dari jari pengguna.
kehidupan harian. Melalui pemerhatian dengan mata kasar, kita dapat simpulkan bahawa kehidupan kita pada masa sekarang seolah-olah dikawal oleh telefon pintar. Mungkin benar atau sebaliknya. Jika kita lihat pada hari ini, ramai dikalangan kita menggunakan telefon pintar semasa melakukan aktiviti harian seperti beriadah sambil mengambil selfie, semasa berzumba, berada digimnasium atau mereka yang sedang memasak didapur. Tidak kurang juga bagi mereka yang berada direstoran yang turut mengambil gambar makanan dengan menggunakan telefon pintar bersama ahli keluarga, sahabat dan disamping teman istimewa. Gambar atau foto ini kemudian dimuat turun di dalam media sosial bagi tujuan memberikan maklumat terkini atau update status mengenai aktiviti yang dilakukan pada masa tersebut. Ada di antara kita yang akan menghadap telefon pintar sebaik sahaja bangun dari tidur dan semasa memandu (jika terperangkap di dalam kesesakan lalulintas) untuk melihat dan melayari perkembangan berita dalam talian dan melihat status terkini pada laman media sosial atau mesej yang dihantar.

Tidak kurang juga yang menggunakan telefon pintar (bermain dengan aplikasi games) semasa menunggu atau berada di dalam bas. Namun begitu, kelakuan yang agak ekstrim adalah menggunakan telefon pintar semasa berada di dalam tandas! Banyak lagi bentuk aktiviti yang berkaitan di mana kita akan menggunakan telefon pintar bagi tujuan mengisi masa yang ada. Namun begitu, apa yang lebih ketara adalah komunikasi sesama insan dilihat semakin berkurangan. Mungkin tidak semua tetapi kita berkecenderungan untuk menuju ke arah aktiviti tersebut. Ada di antara kita yang lebih cenderung berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp, Telegram, Messenger dan Twitter. Malahan semasa berada direstoran atau semasa menunggu makanan yang dipesan tiba, kita akan menggunakan telefon pintar kita untuk berkomunikasi walapun individu tersebut duduk bersebelahan dengan kita. Ini satu fenomena biasa yang kita lihat jika berada di restoran atau berada ditempat tertentu terutamanya yang mempunyai perkhidmatan Internet tanpa wayar.

Telefon pintar menjadi teman setia semasa berlaku kesesakan lalulintas.
Situasi ini turut berlaku semasa hari perayaan. Kita lebih sibuk melayan dan menghadap telefon pintar dari berkomunikasi dengan sanak saudara atau tetamu yang lain. Ini jelas berlaku kepada generasi muda ataupun Generasi C iaitu mereka yang celik komputer dan cenderung di dalam aktiviti media sosial. Mereka seolah-olah asyik dengan dunia mereka sendiri dan obses dengan alat tersebut. Ini tidak termasuk mereka yang terjatuh atau tersadung sesuatu kerana asyik fokus kepada telefon pintar dengan tanpa melihat keadaan dihadapan mereka. Inilah kehebatan dan penangan telefon pintar yang banyak mempengaruhi cara kita berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.

Walapun telefon pintar mempunyai kelebihan dari segi memudahkan kehidupan kita, namun terdapat juga kekurangan yang berkaitan dengan alat ciptaan alaf baharu ini. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Korea Selatan, hasil kajian mendapati bahawa sebanyak 29.2 peratus remaja Korea Selatan mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi terhadap telefon pintar. Kebanyakan mereka adalah pelajar sekolah menengah rendah di negara tersebut yang ketagih dengan penggunaan telefon pintar serta berasa tidak senang duduk jika mereka tidak menggunakan alat komunikasi mereka tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa telefon pintar membantu mereka di dalam proses pembelajaran seperti mendapatkan informasi terkini dan baharu mengenai sesuatu topik atau kursus yang berkaitan dengan pelajaran mereka. Namun begitu, ia haruslah dilakukan secara berhemah kerana jika keterlaluan, ia mungkin akan menganggu proses pembelajaran pelajar. Proses pembelajaran yang efektif dan efisyen memerlukan komunikasi dua hala sama ada dengan guru atau pensyarah dan rakan sebaya.

Satu kajian yang dijalankan di Malaysia menunjukkan 73 peratus individu dewasa bersetuju bahawa mereka mula ketagih dengan penggunaan Internet dan laman media sosial. Penggunaan telefon pintar yang berlebihan pula menyebabkan mereka tidak mempunyai masa tidur yang mencukupi dengan purata 6.4 jam masa tidur sehari dari 8 jam iaitu masa yang sepatutnya diperlukan untuk mendapatkan kualiti tidur yang mencukupi. Tidur yang tidak cukup akan membawa masalah kesihatan seperti stres, obesiti, mempercepatkan penuaan dan masalah jantung.

Selain daripada itu, kajian daripada Carat’s Consumer Study (CSS) yang mengatakan bahawa 61 peratus individu yang berumur 15 hingga 34 tahun terutamanya bagi mereka yang berkerjaya akan merasa sesuatu yang tidak lengkap di dalam diri jika mereka tidak menggunakan telefon mudah alih atau pintar dalam masa 24 jam. Situasi ini dipanggil sebagai nomophobia atau no-mobile-phone-phobia. Perkara ini mungkin benar kerana ada di antara kita yang risau, panik dan tidak keruan jika telefon mudah alih atau pintar kita hilang, jatuh atau tidak berfungsi.

Oleh kerana harganya yang agak tinggi, kebanyakan pengguna telefon pintar menjaga alat komunikasi kesayangan mereka itu ibarat bagai menatang minyak yang penuh. Telefon pintar tersebut lengkap dengan alat pelindung skrin dan juga casing bagi mengelakkan telefon tersebut tidak tercalar atau rosak jika terjatuh.

Telefon pintar berkait rapat dengan generasi muda yang berkerjaya.
Kemajuan dan perkembangan Internet serta generasi yang celik komputer banyak membantu di dalam evolusi penciptaan telefon mudah alih yang seterusnya melahirkan generasi telefon pintar. Ini diperhebatkan lagi dengan jaringan Internet tanpa wayar di negara kita yang menyumbang kepada pertambahan pengguna telefon pintar di zaman yang serba pantas ini – age of impatience. Sebenarnya tidak salah jika kita menganggap telefon pintar sebagai teman sejati di dalam membantu kita menguruskan kehidupan harian seperti pengurusan maklumat, komunikasi, perniagaan, hiburan dan banyak lagi. Namun begitu, setiap aktiviti yang berkaitan dengan telefon pintar haruslah seimbang dan tidak menjadi terlalu obses atau ketagih dengan penggunaannya. Ini adalah kerana fitrah kejadian manusia secara semulajadi adalah berkomunikasi secara bersemuka (face-to-face). Teknologi hanya menjadi satu medium untuk memudahkan kehidupan kita kerana sebagai seorang insan ciptaan Yang Esa kita perlu kembali kepada perkara asas atau back to basics.

Komunikasi sesama insan tidak seharusnya didominasikan oleh teknologi kecuali jika berada dalam situasi tertentu seperti jarak komunikasi yang jauh yang memerlukan khidmat telefon pintar ataupun semasa kecemasan. Peranan asal sebuah telefon adalah untuk mendekatkan komunikasi yang jauh serta mempercepatkan interaksi di antara manusia kerana limitasi dari segi jarak, sempadan dan masa. Kita tidak mahu pada suatu masa nanti generasi kita tidak lagi berhubung secara bersemuka tetapi hanya dengan menggunakan telefon pintar walaupun tinggal di bawah satu bumbung. Adakah kita mahu anak-anak kita bertegur sapa sesama keluarga dengan menggunakan perantaraan media sosial melalui telefon pintar? Jawapan itu ada di dalam diri kita. Tepuk dada tanyalah selera!

Oleh Charlie Albert Lasuin
(Penuntut Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia)
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I was a blogger since 2008, I have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2017. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger