Home » , , , » Trauma menanti gempa

Trauma menanti gempa

Posted By Dennelton Mandiau on Monday, June 22, 2015 | 21:31

Pemandangan Gunung Kinabalu selepas gempa.
SALAH SATU daripada kejadian gempa bumi yang dahsyat pernah menimpa Bandaraya San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 17 Oktober 1989 jam 5:04 petang. Gempa dengan kekuatan 6.9 skala Richter itu berlangsung selama 15 saat dan mengorbankan seramai 63 orang. Manakala, 3,757 mengalami kecederaan, dan 8,000 hingga 12,000 orang kehilangan tempat tinggal. Jumlah kemusnahan direkodkan sehingga mencecah US$6 bilion.

Gempa ini telah dikesan berpusat di dalam kawasan Taman Hutan Rekreasi Nisene Marks berhampiran puncak Loma Prieta, di kawasan pergunungan Santa Cruz. Oleh itu, gempa ini lebih dikenali dengan nama Loma Prieta Earthquake. Ianya juga turut dikenali sebagai San Francisco-Oakland Earthquake disebabkan oleh kadar kemusnahan yang teruk dan kemalangan jiwa yang agak tinggi pada Bandaraya San Francisco dan Oakland.

Apa yang menarik ialah beberapa bulan sebelum itu, iaitu pada Jun 1988 dan Ogos 1989, beberapa
siri gegaran (dianggap sederhana) telah direkodkan. Masing-masing dengan kekuatan 5.3 magnitud dan 5.4 magnitud. Ironinya, kejadian gempa itu berlaku di pusat gempa, Loma Prieta, yang terletak 100 km di selatan San Francisco. Akan tetapi impak yang sangat tinggi berlaku di Bandaraya San Francisco. Hal ini demikian kerana berlakunya rekahan sesar atau dikenali sebagai seismic gap pada sesar San Andreas.

Jalan rosak menyukarkan operasi menyelamat.
Kejadian gempa ini telah memberi inspirasi kepada penerbitan filem box office “San Andreas” yang baru sahaja beberapa hari menggegarkan pawagam Kota Kinabalu, sebelum gegaran Gempa Kinabalu menghadirkan trauma kepada penduduk negeri Sabah, khususnya mereka yang tinggal dalam daerah di persekitaran Gunung Kinabalu, dan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sehingga setakat artikel ini ditulis, berlaku dua kejadian gempa yang sangat mengelirukan, dan menakutkan, iaitu pada 5 dan 13 Jun 2015. “Mengelirukan” kerana hampir kesemua yang merasai gegaran gempa ini merupakan pengalaman kali pertama mereka. Berdasarkan pengalaman rakan-rakan, pelbagai sangkaan di buat ketika gempa pertama berlaku. Seorang sahabat menyangkakan tangki rumahnya seperti mahu roboh.

Ada juga yang menyangkakan ada tiang rumah yang akan patah. Seorang rakan yang ketika itu berada di dalam kenderaan berkata, seperti ada orang melanggar belakang keretanya. Seorang pakcik yang sedang bekerja di kebun menceritakan bagaimana ia menyangka bahawa penyakit darah tingginya menyerang beliau kembali walhal selalu juga dia makan ubat darah tinggi, dirasanya kepalanya pening dan dilihatnya dunia bergegar. “Menakutkan” apabila realiti sebenar diketahui selepas itu. Sabah dilanda gempa dan pusatnya pula ialah Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara. Trauma meningkat bila menyedari bahawa pusat gempa adalah di Gunung Kinabalu.

Gempa pertama berlaku pada 5 Jun 2015 dengan kekuatan magnitud 5.9 skala Richter pada sekitar anggaran masa di antara jam 7:11 dan jam 7:12 minit pagi. Ianya berlaku tatkala orang ramai sedang bersiap sedia ke tempat kerja. Bagi mereka yang masih berada di rumah, mereka akan lebih terkesan daripada mereka yang sedang berada dalam kenderaan ke tempat kerja.

Kejadian kedua berlaku pada 13 Jun 2015 dengan 5.0 skala Richter pada jam 2:29 pagi. Gempa yang pertama berlaku lebih lama dari yang kedua. Gempa pertama telah menyebabkan sejumlah pendaki dan Malim Gunung terkorban. Orang ramai yang merasai gegaran gempa dilanda kebingungan dan mengikuti dengan hati yang berdebar setiap perkembangan mengenai gempa selepas itu.

Seorang ibu dari Ranau menceritakan bagaimana keadaan mereka pada masa itu seperti duit syiling yang digoncang dalam tabung, sedikit histeria memanggil anak-anaknya yang lain bagi mempastikan mereka selamat. Dalam tempoh seminggu itu sebelum gempa kedua itu, isu gempa menjadi topik terhangat.

Ini menyebabkan trauma khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan berhampiran pusat gempa mengalami rasa trauma. Apatah lagi dengan berlakunya beberapa siri gegaran kecil selepas gegaran pertama. Kejadian gempa kali kedua walaupun tidak menyebabkan kematian dan kemusnahan sudah cukup untuk membuatkan rasa trauma berlarutan.

Secara keseluruhannya, orang ramai tidak menyangka kejadian gempa berpusat di Gunung Kinabalu itu boleh berlaku. Semasa ditanya mengenai impak gempa, Prof Dr Felix Tongkul, Pakar Geologi UMS, menerangkan bahawa impak bencana atau pun gegaran itu akan lebih tertumpu ke arah Pantai Barat Sabah.

Abbie Intang salah seorang malim Gunung Kinabalu.
Sebab itulah gegaran yang kuat turut dirasai oleh mereka yang tinggal dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Selepas beberapa siri gempa yang kecil, orang ramai sekali lagi dikejutkan oleh gempa kedua yang tidak kurang hebatnya. Ini adalah disebabkan ianya berlaku ketika orang ramai sedang tidur di rumah. Gegaran telah menyebabkan sebahagian besar orang ramai terjaga dari tidur mereka. Persoalannya, adakah gempa kedua ini memberi indikasi bahawa akan berlaku suatu susulan gempa yang lebih dahsyat lagi dalam masa terdekat? Atau pun ianya menunjukkan bahawa gempa akan berakhir tidak lama lagi disebabkan oleh kekuatannya yang bersifat menurun? Berdasarkan kepada temubual-temubual yang dilakukan kepada pakar-pakar, kejadian gempa bumi adalah suatu yang sukar untuk diramal. Ia berlaku tanpa diduga. Hatta, mesin yang canggih pun sukar untuk meramalnya, kecuali disaat akhir.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku dan kerisauan yang dihadirkan oleh gempa, maka aspek trauma yang melanda masyarakat dari gempa Gunung Kinabalu ini perlu dilakukakan dengan segera oleh pihak-pihak yang berwajib. Hal ini adalah kerana jika tidak ditangani ianya akan memberi kesan negatif kepada produktiviti dan keharmonian hidup masyarakat.

Trauma gempa boleh menimbulkan stress disorder yang sangat membimbangkan. Prof Madya Dr Balan, Pensyarah UMS, menyebut dalam tulisannya mengenai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) bahawa trauma terjadi kesan daripada pengalaman terdedah secara mengalami atau menyaksikan sendiri suatu peristiwa yang sangat meresahkan diri yang berlaku di masa lalu.

Antara jalan yang rosak teruk.
Dalam hubungan ini, bagi mengurangkan tekanan dari bencana gempa, mekanisma atau pendekatan yang perlu dilakukan ialah bagaimana mengurus trauma yang berdasarkan kepada persepsi suatu perkara yang lebih dahsyat akan berlaku di masa hadapan dalam masa yang terdekat.

Gempa juga turut disusuli dengan kejadian tanah runtuh yang telah mengeruhkan punca air serta menghalang penyaluran air bersih. Akibatnya, sebahagian dari kawasan perkampungan di Ranau dan sekitar Gunung Kinabalu terputus bekalan air bersih.

Pada ketika itu, trauma yang dirasai semakin menggunung. Mujurlah semangat prihatin rakyat Malaysia sangat tinggi. Bantuan air mineral segera dihantar oleh pelbagai perkumpulan masyarakat, organisasi dan individu. Bantuan pakaian dan makanan turut didermakan oleh masyarakat prihatin kepada mereka yang terjejas teruk oleh tragedi gempa. Usaha ini sebenarnya mampu mengurangkan trauma yang dialami.

Ketika berkongsi mengenai tragedi gempa, Prof Dr Felix Tongkul selaku Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah mengajak agar semua ahli akademik UMS untuk dapat memainkan peranan untuk melakukan penyelidikan yang relevan dengan bidang masing-masing bagi membantu mengelak berlakunya tragedi gempa di masa depan atau sekurang-kurangnya penyelidikan mereka itu kelak boleh mengurangkan impak dan kesan trauma seandainya gempa berulang lagi. “Sabah adalah lab terbesar di Malaysia. Penyelidik UMS perlu berada paling terkehadapan dalam kejadian gempa ini (membuat penyelidikan).”

Rumah penduduk Ranau yang terjejas akibat tanah runtuh.
Berdasarkan pengalaman Loma Prieta Earthquake, trauma menanti gempa itu mungkin suatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak-pihak tertentu. Ini adalah kerana, selain membina semula bangunan atau premis yang rosak teruk, usaha menghidupkan semula semangat dan iltizam khususnya mereka yang terkesan teruk oleh gempa ini perlu dilakukan.

Selebihnya, ialah setiap anggota masyarakat itu sentiasa mengukuhkan kerohanian mereka berdoa agar bumi Sabah yang aman sejahtera ini terus dilindungi oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Sikap saling hormat menghormati perlu disuburkan bukan sahaja kepada sesama makhluk, bahkan juga kepada alam semula jadi kurniaan Tuhan yang bersifat sementara ini.

Oleh Jakaria Dasan
Share this article :
The Editor

I'm Dennelton from Sabah, editor of www.tvokm.com. I was a blogger since 2008, I have a great interest about blogging and seeking additional income through the internet. Follow me with like our official Facebook Page HERE

+ comments + 1 comments

September 7, 2017 at 12:57 AM

Terima kasih atas minat ke atas artikel ini.

Post a Comment

Hello there, we are welcome all kinds of thoughts-supportive, opposed, critical or otherwise but before you add comment please use English, Indonesian and Malay language. Thank You!
 
Support : Policies | Contact | About
DMCA.com Copyright © 2013-2017. TVOKM - All Rights Reserved
Designed by Maskolis | Modified by
Proudly powered by Blogger